Friday, August 6, 2010

Status Halal


Semalam pagi, hubby beritahu sia bahawa ada seorang kontraktor mahu membelanjai hubby dan rakan sekerjanya makan di sebuah restoran bernama Hok.kaido. Mendengar saja nama restoran tersebut, soalan yang terpacul daripada mulut sia mestilah “Halal ke bang?” Dan dijawab oleh hubby “Halal. Kontraktor A ni orang Melayu, dia cakap halal. Si B (rakan sekerja hubby) pun pernah pergi makan kat sana”. Sia dengan nada lega setuju untuk mengikuti hubby ke restoran tersebut.

Jadi, malam tadi, lebih kurang jam 8.30 malam, kami bergerak daripada rumah menuju ke restoran tersebut.

Sesampai-sampai sahaja kami di kawasan restoran tersebut, kami terkejut melihat keadaan restoran tersebut. Rupa-rupanya, restoran ini adalah restoran makanan laut yang dipunyai oleh orang bukan Muslim. Tiada tanda halal pun terpampang di mana-mana bahagian restoran tersebut, hanya perkataan “Served no pork” sahaja yang kelihatan. Siap ada logo “Calsberg” pulak tu.

Sia dengan hubby memang berat hati untuk masuk ke restoran tersebut pada mulanya. Tetapi, memikirkan si B telah melihat kelibat kami semasa kami sedang mencari tempat untuk meletakkan kereta, maka kami gagahkan juga untuk masuk ke restoran tersebut. Lagipun, hubby berasa serba salah sebab sekiranya dia balik, tentu-tentunya si B dan isteri sahaja yang akan tinggal bersama dengan si kontraktor A. Dan yang lebih membuatkan hubby rasa serba salah, sebab kedua-dua orang yang menyatakan bahawa restoran itu adalah restoran halal merupakan saudara seMuslim. Jadi, sudah tentulah tidak berapa elok untuk mempertikaikan kepercayaan kedua-dua saudara seMuslim ini di situ kan?

Selesai sahaja makan malam tersebut, sambil berjalan-jalan ke arah kereta, hubby bersuara “Inilah kali pertama dan kali terakhir kita akan makan di situ. Abang rasa tidak sedap hati. Walaupun diorang cakap restoran tu halal dan kita nampak ramai Melayu yang makan kat situ, abang masih was-was. Satu tanda halal pun tak nampak” Sia yang memang sangat bersetuju dengan pendapat hubby hanya mengiyakan.

Di dalam kereta semasa dalam perjalanan balik ke rumah, sia dengan hubby masih berbincang berkenaan dengan status halal restoran-restoran di Malaysia.

Pada pendapat sia, kita yang duduk di negara Islam yang dihuni pelbagai kaum ni kadang-kadang selalu tersepit dan terperangkap dengan kesahihan status halal restoran-restoran di Malaysia ni. Kalau macam restoran seperti yang sia nyatakan di atas, mudahlah untuk kita menilainya kan? Tapi, kalau sesebuah restoran yang pemiliknya bukan Melayu atau bukan Islam yang tidak kita ketahui mungkin kerana muka pemiliknya seakan-akan Melayu, bagaimana pula untuk kita menilaikan status halal restoran tersebut sekiranya tiada tanda halal terpampang? Susah bukan?

Berkenaan dengan status halal makanan di hotel-hotel pula, sebenarnya sama sahaja kesnya dengan kes restoran yang sia sebutkan di atas. Walaupun, hotel-hotel tersebut tidak menayangkan tanda halal dan menghidangkan minuman keras, tapi, selalunya kita tidak merasa was-was. Ini adalah barangkali kerana ia telah menjadi kebiasaan di negara kita untuk semua hotel tidak menghidangkan makanan yang tidak halal seperti binatang “itu”. Ditambah pula dengan kelibat pekerja-pekerja Muslim yang bekerja di hotel-hotel berkenaan, maka bertambahlah keyakinan kita untuk mengatakan makanan yang dihidangkan di hotel tersebut adalah halal belaka. Tapi, adakah benar semua hotel di Malaysia menghidangkan makanan halal?

Pada masa kini, status halal makanan di negara ini susah untuk kita nilaikan. Banyak yang telah kita baca melalui email berkenaan kesahihahan status halal makanan-makanan seperti ayam, pau dan makanan-makanan segera yang pada kebiasaannya menjadi kegemaran kebanyakan kaum Muslim di negara ini. Cuma yang malangnya, susah untuk kita mengiyakan apa yang kita baca melalui email, kerana tiada pekeliling ataupun arahan jelas daripada pihak berkuasa di negara kita yang mengiyakan kebenaran berita-berita atau maklumat-maklumat tersebut.

Pendedahan melalui televisyen juga telah banyak dibuat kebelakangan ini. Tapi, malangnya, apabila berita-berita tersebut ditayangkan, jenama ataupun nama pengeluar bahan makanan tersebut tidak pula dinyatakan, malahan kadang-kadang di “censored” kan. Menambahburukkan keadaan lagi apabila sekali lagi tiada sebarang kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara kita tentang kesahihan berita-berita tersebut. Kenapa? Adakah kerana berita itu tidak benar? Ataupun pihak-pihak yang berkenaan mempunyai kepentingan untuk tidak mengiyakan kesahihan berita berkenaan?

Entahkan sampai bila keadaan ini akan berlaku di negara kita yang majoriti penduduknya adalah Melayu dan Muslim. Kadang-kadang tidak tahu siapa yang patut dipersalahkan apabila isu seperti ini dibangkitkan.

Pada sia dan hubby lah, kami bergantung sepenuhnya kepada ketua pemimpin negara yang kami cintai ini dalam menilai status halal mana-mana makanan yang akan kami makan. Mereka sebagai pemimpin sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan orang Muslim yang juga saudara seagamanya. Sekiranya ada perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan kami yang jahil ini, maka hanya Tuhan yang tahu. Walaubagaimanapun, penilaian sendiri di mana yang perlu seperti yang kami nyatakan di atas juga menjadi salah satu faktor untuk kami memutuskan samada mahu percaya dengan status halal yang diwar-warkan atau tidak. Sekiranya kami memang berasa was-was dan ada cara untuk mengelakkan daripada makan di tempat tersebut, akan kami elakkan seboleh-bolehnya. Wallahualam....

Ya Allah ya Tuhanku, hanya Engkau tempat kami bermohon dan berharap. Jauhkanlah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan darah daging keturunan kami. Ampunilah dosa-dosa kami sekiranya ada yang telah kami terlanjur di atas kejahilan diri kami sendiri ya Allah! Hanya Engkau yang Maha Mengetahui apa yang tidak kami ketahui. Aminnnnn... ya rabbal alamin....

p/s: Untuk keterangan lanjut berkenaan info halal dan logo halal yang sah digunakan di Malaysia, klik di sini.


0 orang pot pet on "Status Halal"

Berapa hb?

Tik tok tik tok....

Page merujuk ke blog si mama glam

Web Pages referring to this page
Link to this page and get a link back!

Kawan2ku

 

Am I Glam Enough? :P Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | Sponsored by Blogger Template Gallery