Tuesday, June 7, 2011

Raja dan Emas



Pada suatu masa dulu, di sebuah Negara, terdapat seorang Raja yang teringin sangat menjadi kaya.

Dijadikan cerita, pada suatu pagi yang indah, Raja tersebut bersiar-siar di Taman Istana. Sedang bersiar-siar, si Raja singgah berehat di bawah pokok kerana berasa terlalu penat. Sedang duduk berehat, seekor pari-pari yang baik hati muncul dihadapannya. “Kenapa Tuanku nampak begitu sugul?” tanya si pari-pari kepada si Raja. “Beta teringin menjadi lebih kaya daripada apa yang beta ada sekarang ini lah pari-pari. Beta mahu memiliki banyak emas!” jawab si Raja. “Boleh! Hamba akan kurniakan Tuanku kebolehan menukarkan setiap apa yang Tuanku sentuh bertukar menjadi emas. Sekarang, cuba Tuanku sentuh pohon-pohon pokok itu” arah si pari-pari kepada si Raja. TING! Maka, bertukarlah pepohon pokok tersebut kepada emas. Gembiralah si Raja yang kemudiannya berlari-lari pulang ke istananya.

Sesampai-sampai di istananya, anakandanya yang dari tadi mencari-cari ayahandanya datang menerkam. Dengan gembiranya, si Raja memeluk anakandanya. Dengan secara tiba-tiba, anakandanya bertukar menjadi emas dan keras dan tidak bernyawa. Si Raja yang terkejut tidak sempat berkata apa-apa dan hanya mampu melihat anakandanya yang telah bertukar menjadi emas.

Tidak lama kemudian, si Raja berasa sangat lapar, lalu menuju ke meja santapan untuk makan. Betapa gembiranya si Raja bila melihat semua lauk kegemarannya berada di atas meja santapan. Lalu, dengan lahapnya, si Raja mengambil ayam golek kegemarannya. TING! Bila saja si Raja menyentuh makanan-makanan tersebut, dengan serta merta ianya bertukar menjadi emas dan sudah tentu tidak boleh dimakan. Begitu juga dengan pinggan mangkuk, sudu garpu… Pendek kata, apa saja yang disentuh oleh si Raja termasuk permaisurinya sendiri, telah bertukar menjadi emas. Maka bersedih hatilah si Raja melihatkan keadaan tersebut.

Dengan muka yang sangat sugul, si Raja pergi semula ke bawah pokok di tempat dia berjumpa dengan si pari-pari yang baik hati… Tunggu punya tunggu, muncullah si pari-pari… “Kenapa hamba lihat muka Tuanku masih kelihatan sugul?” tanya si pari-pari kepada si Raja. “Tuanku tidak gembira dengan kebolehan Tuanku menukarkan apa sahaja yang Tuanku sentuh kepada emas?” tanyanya lagi. “Tidak! Beta tidak gembira dengan kebolehan ini. Beta menyesal memintanya wahai si pari-pari. Kini, anakanda beta, permaisuri beta, malahan makanan kegemaran beta semuanya telah bertukar menjadi emas. Disebabkan itu, beta telah kesunyian dan berasa lapar kerana setiap apa sahaja yang beta sentuh telah bertukar menjadi emas” Adu si Raja kepada si pari-pari. “Jadi, apa yang Tuanku mahu hamba lakukan sekarang ini?” tanya si pari-pari kepada si Raja. “Beta mahukan keadaan kembali seperti sebelum ini. Beta tidak mahukan kebolehan itu lagi. Beta bersyukur dengan apa yang beta ada sekarang. Kekayaan yang beta ada sudah mencukupi dan beta tidak perlukan lebih banyak emas. beta mahukan keluarga beta semula.. Beta mahukan nikmat merasai makanan kesukaan beta semula. Tolonglah si pari-pari! Beta insaf kerana berasa tamak dengan meminta yang bukan-bukan” jawab si Raja.

Tidak lama kemudian, si pari-pari menunaikan permintaan si Raja dan mengembalikan keadaan seperti sediakala. Anakanda, permaisuri dan semua makanan kegemaran si Raja bertukar semula kepada keadaan asalnya. Maka, gembiralah si Raja kerana dia kini boleh hidup seperti biasa dan menikmati kehidupan yang serba sederhana di samping keluarganya dan makanan-makanan kegemarannya….



Hehehehehhe… Tiba-tiba pulak si mama glam ni bukak cerita dongeng di hari Selasa… Sebenarnya kan, cerita dongeng ni sia cilok daripada salah satu buku cerita si minah Aimee..

Bukan apa, sekadar renungan dan peringatan kepada diri sendiri dan juga pembaca-pembaca blog si mama glam…

Kadang-kadang, guna bahasa mudah seperti cerita dongeng kanak-kanak ni lebih mudah kita fahami berbanding menggunakan ayat-ayat yang power kan?

Jadinya, renung-renungkan dan selamat beramal.. Hehehhehe…


0 orang pot pet on "Raja dan Emas"

Berapa hb?

Tik tok tik tok....

Page merujuk ke blog si mama glam

Web Pages referring to this page
Link to this page and get a link back!

Kawan2ku

 

Am I Glam Enough? :P Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | Sponsored by Blogger Template Gallery