Hari ni saja mau mengomel pasal perkhidmatan kad kredit Bank Rakyat. Gerammmmmmm! Sekarang ni sia dalam proses untuk menamatkan kad kredit yang baru saja sia gunakan lebih kurang 4 bulan lebih.
Kenapa?
Terlalu banyak yang tidak kena pada hemat sia. Terlalu banyak agenda tersembunyi yang menyebabkan senang-senang saja bank tersebut mengenakan caj keuntungan (profit charges). Sangat geram ok!
Ok, kisahnya bermula pada bulan kedua sia menggunakannya.
Pada bulan pertama sia menggunakan kad tersebut (bulan Jun), sia tidak mendapat bil akan amaun yang perlu sia bayar. Bila tidak mendapat bil, sudah tentulah sia tidak tahu bila tarikh terakhir yang sia perlu bayar bil tersebut kan? Jadi, berdasarkan pengalama sia dengan bank yang terdahulu, sia hanya beranggapan sia perlu menunggu bil sampai, barulah sia perlu membayar bil tersebut.
Tiba-tiba pada 27hb Julai, seorang staf bank tersebut menghubungi sia dan meminta sia untuk membayar RM50 pada malam tersebut juga. Kononnya untuk mengelakkan sia dikenakan caj. Sia terkejut dan bertanya, kenapa sia perlu membayar amaun tersebut sedangkan sia tidak ada menerima apa-apa bil daripada bank? Pegawai tersebut memberitahu sia bahawa sebenarnya tarikh terakhir pembayaran bil sia untuk penggunaan bulan yang sebelumnya adalah pada 17hb Julai. Sia tidak puas hati dan meminta staf tersebut untuk memberikan sia amaun penuh yang perlu sia bayar (Nota: Bukan mahu berlagak atau apa-apa, semenjak menggunakan kad kredit daripada tahun 2003, sia tidak pernah membayar amaun minimum kerana takut dikenakan caj dan sebagainya). Walaubagaimanapun, staf tersebut mengatakan dia tidak dapat memberikan amaun tersebut kerana dia bukan staf daripada bahagian yang menguruskan bil, tetapi berkeras untuk sia membayar RM50 pada malam tersebut jugak. Sia yang takut dikenakan apa-apa caj, terus membayar amaun tersebut pada malam itu juga.
Pada awal bulan Ogos lebih kurang 4hb kalau tidak silap, sia menelefon customer service untuk menukar tarikh bil kad kredit. Pada masa itu juga, permohonan itu diluluskan, makanya tarikh bil ditukar daripada 30hb ke 10hb, manakala tarikh akhir pembayaran ditukar daripada 17hb ke 30hb.
6hb Ogos, bil bulan kedua sampai. Sia terkejut kerana dalam bil tersebut, sia telah dikenakan caj denda dan juga caj keuntungan. Berasa tidak puas hati, sia lalu menelefon customer service dan bertanyakan mengapa sia dikenakan caj tersebut sedangkan sia tidak mendapat bil yang sepatutnya sia bayar pada bulan lepas? Sia juga menyatakan bahawa adalah tidak adil untuk sia dikenakan caj-caj tersebut kerana sia langsung tidak mendapat bil yang sepatutnya sia bayar. Staf tersebut memberitahu sia bahawa sia dikenakan caj-caj tersebut kerana tidak membayar amaun penuh bil pada bulan tersebut, tetapi memberi respon yang agak prihatin dan berjanji akan mencuba untuk meng waive kan caj-caj tersebut setelah mendengarkan masalah yang sia hadapi. Ok, legaaaaa…. Sia pun bayarlah amaun penuh bil tersebut dengan harapan pada bil yang akan datang, caj-caj tersebut akan ditolak semula.
Tengahari 30hb Ogos, sia menelefon customer service untuk bertanyakan samada bil yang tarikh baru telah sedia atau belum. Staf tersebut mengatakan bahawa bil baru tersebut belum sedia, mungkin pada bulan hadapan. Ok, noted!
Balik rumah pada petang hari, tiba-tiba ternampak surat daripada Bank Rakyat. Rupa-rupanya bil bulan ketiga. Sekali lagi sia terkena kejutan elektrik! Bil tarikh 10hb Ogos, tarikh akhir pembayaran 30hb Ogos! Sudahlah tu, sekali lagi kena caj-caj denda lewat dan caj keuntungan. Tidak puas hati, sia telefon customer service lagi dan bertanyakan kenapa sia dikenakan caj-caj tersebut padahal sia telah membayar bil bulan lepas sebelum tarikh terakhirnya iaitu pada 14hb Ogos. Staf tersebut memberitahu bahawa apabila penukaran tarikh bil diluluskan, ia akan berkuatkuasa serta merta. Bermaksud bil pada bulan sebelumnya yang sepatutnya tarikh akhir pembayaran pada 17hb Ogos akan ditukarkan kepada 30hb Julai. What the %&^%&&^%&^? Oleh sebab itulah sia telah dikenakan caj-caj yang berkenaan kerana sia membayar selepas 10hb, iaitu tarikh baru bil yang telah diluluskan. Sia terasa macam kena tampar dengan kenyataan staf tersebut. Sekali lagi sia memang tidak berasa adil untuk sia dikenakan caj-caj tersebut kerana staf yang melayani panggilan sia untuk penukaran tarikh bil tersebut tidak memaklumkan sia akan hal tersebut. Tambahan pula, bagaimana harus sia membayar bil tersebut sebelum 30hb Julai sekiranya bil pun sia terima pada 6hb Ogos? Sia memang tidak puas hati dan sekali lagi meminta untuk di waive kan caj-caj tersebut!
Sebelum pulang ke Tawau berhari raya, sia menelefon lagi customer service untuk bertanyakan status permohonan sia untuk waive kan caj-caj yang gila itu! Alangkah malangnya nasib sia bila sia terpaksa bergaduh dengan staf-staf bank rakyat, dan akhirnya, caj-caj tersebut tidak juga di waive kan. Memang naik hangin satu badan dibuatnya!
Kesimpulannya, apa yang sia boleh cakap, patutlah Bank Rakyat boleh dapat bonus sampai berbelas-belas bulan (ini bukan nada orang dengki atau cemburu dsb, hanya luahan hati seorang pengguna yang tidak berpuas hati), mungkin sebab diorang terlalu banyak agenda tersembunyi di sebalik perkhidmatan yang mereka tawarkan. Juga samada, prosedur melayani pelanggan melalui telefon tidak jelas sehinggakan staf-staf customer service mereka terlepas pandang akan perkara-perkara penting yang perlu mereka maklumkan dan jelaskan kepada pelanggan supaya pelanggan boleh bertindak sewajarnya untuk mengelakkan diri daripada terkena caj-caj denda pembayaran lewat dan caj keuntungan hanya disebabkan tidak membayar bil dengan amaun yang penuh.
Untuk pengetahuan siapa-siapa sahaja (ataupun kalau ada lah staf bank rakyat yang terbaca), sia sudah lama menggunakan kad kredit sejak tahun 2003 lagi. Sia paham kenapa bank mengenakan caj denda lewat bayar dan caj keuntungan. Oleh itu, belum pernah sia tidak membayar bil dengan amaun yang penuh dan juga tidak pernah sia hanya membayar amaun minimum. Semuanya untuk mengelakkan dikenakan caj-caj yang tidak sepatutnya. Panggillah sia kedekut atau apa pun, yang sia tahu sia bayar habis bil-bil tersebut sebab sia tidak mahu sakit kepala memikirkan hutang kad kredit yang tidak berbayar. Bukanlah sia ni orang kaya atau apa, tapi kepala sia tidak boleh berhenti berfikir selagi sia tidak bayar hutang kad kredit. Takut jadi muflis hanya kerana tidak mampu membayar bil kad kredit. Tidak mahu menjadi antara orang-orang yang nampak bergaya di luar, tapi sebenarnya hutang kad kredit keliling pinggang.
Jadi, tidak payahlah cakap yang memang semua bank mengenakan caj sebegitu, seolah-olah sia ni kali pertama menggunakan perkhidmatan kad kredit. Sia paham semua bank ada mengenakan caj-caj sedemikian rupa, tapi hanya sekiranya pelanggan menerima bil dan tidak mahu membayar atau tidak membayar habis bil yang telah dikeluarkan. Sia paham ok! Tapi, bukan mengenakan caj kepada pelanggan di atas kealpaan dan kesilapan staf sendiri yang tidak menghantar bil kepada pelanggan, menghantar bil lambat dan di atas kekurang mahir staf sendiri untuk memberikan maklumat yang tepat kepada pelanggan! Dan bank-bank lain juga prihatin dan sentiasa mendengar masalah pelanggan dan sentiasa berkerjasama dan bertimbangrasa dengan pelanggan sekiranya sesuatu perkara atau masalah timbul berpunca daripada kesilapan mereka sendiri. Fikir-fikirkanlah.
Setelah mengalami pengalaman selama beberapa bulan menggunakan kad kredit bank rakyat ini, pernah terlintas di kepala sia, adakah memang ini cara Bank Rakyat mengaut duit daripada pelanggan. Menyembunyikan apa yang sepatutnya perlu diketahui oleh pelanggan. Yang paling teruk, tidak mahu mengakui kesilapan teknikal yang datangnya daripada pihak mereka dan langsung tidak bertimbangrasa dengan aduan yang dikemukakan oleh pelanggan. Apa yang mereka pentingkan, duit! duit! dan duit!
Tidak mengapalah, sekiranya memang apa-apa caj yang dikenakan kepada sia itu bukan rezeki sia, sia redha. Tapi, kalau memang sia ini adalah antara manusia-manusia yang teraniaya, sampai mati tidak akan sia halalkan!
Hujung bulan ni sia akan bayar semua amaun yang telah sia gunakan. Kemudian, sia akan tamatkan perkhidmatan kad kredit tersebut. Hanya semata-mata untuk mendapatkan waive RM50 cukai servis kerajaan, sia perlu menghadap semua masalah ini. Memang sangat tidak berbaloi!
p/s:
1. Ada juga kawan sia yang baru menggunakan perkhidmatan kad kredit bank rakyat mengalami masalah yang sama.
2. Sedang mencari servis kad kredit bank lain. Ada cadangan? Rasa macam malas mahu guna kad kredit, tapi takut susah pulak kalau ada kes-kes kecemasan… Haih!
3. Cerita ini dicoretkan berdasarkan pengalaman sia sendiri. Mungkin ada orang lain yang bernasib baik dan tidak mengalami apa-apa masalah. Jadi, jangan cakap sia saja memburuk2kan bank tersebut. Cerita ini hanyalah iktibar dan kalau boleh sebagai lesson learn kepada pengurusan bank tersebut untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa hadapan (kalau diorang ada bacalah, tapi memang mustahil la kan sebab sia ni bukannya artis atau selebriti yang blognya sangat fofular dan sangat berpengaruh)